Lim Teong Kim Dedah Perangai Sebenar Skuad Malaysia - U13 Bawah Bimbingannya
KUALA LUMPUR: "Mereka merupakan duta Malaysia yang baik," jelas Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) Lim Teong Kim berhubung skuad Bawah 13 Tahun Negara yang kini berada di Jerman bagi siri Jelajah Eropah.
Jelas Teong Kim, pemain-pemain muda yang sedang digilap bakat mereka itu dapat menyesuaikan diri dengan baik termasuk memahami budaya, cuaca, perbezaan waktu, makanan, bahasa sepanjang berada di Bayern.
"Pemain-pemain bukan sahaja menunjukkan sikap yang baik ketika di padang, tetapi di mana-mana sahaja mereka pergi.
"Mereka membawa nama Malaysia dengan baik malah semua kakitangan di hotel, pemandu bas, kawan baik keluarga saya (Adrian) dan masyarakat Malaysia yang berada di sini turut gembira dengan keramahan serta tingkah laku mereka.
"Ia bukan mengenai bola sepak semata-mata," jelasnya kepada mStar Online menerusi Aplikasi WhatsApp pada Khamis.
Mengenai keputusan positif lima perlawanan persahabatan yang telah ditempuhi sehingga hari ini, Teong Kim mengakui kemenangan itu merupakan bonus buat pasukan berkenaan.
"Kemenangan adalah sesuatu yang bermakna bagi memberi keyakinan dan tahap kepercayaan dalam diri pemain, tetapi saya lebih berminat melihat pemain ketika beraksi dan menyelesaikan masalah di padang.
"Adakah mereka faham tanggungjawab di bahagian serangan dan pertahanan? Bagaimana cara untuk mendapatkan bola, berada dekat dengan pihak lawan, berada jauh dengan pemain lawan dan cara pantas menangani tekanan?
"Perkara-perkara tersebutlah yang saya tekankan, mengajar cara pemikiran pemain-pemain dalam program pembangunan ini.
"Ia sangat penting bagi semua pemain memahami perlawanan, bagaimana cara bermain dan ia adalah untuk masa depan pembangunan bola sepak," jelasnya.
Namun begitu bekas jurulatih kelab remaja Bayern Munich ini turut mengakui pemain-pemain agak gementar ketika perlawanan bermula.
"Mereka banyak melakukan kesilapan, membuat keputusan salah ketika memegang bola.
"Namun ketika waktu rehat, saya memberitahu mereka agar tenang dan selepas itu mereka dapat melakukan yang terbaik dalam semua perlawanan.
"Malah mereka telah mempamerkan semangat luar biasa, mengejar jaringan dan menang ketika ketinggalan 2 gol dengan Pasukan B15 TSV Murnau serta satu gol di belakang B13 Bayern Munich," tambahnya.
Sumber : MSTAR
0 Komentar untuk "Lim Teong Kim Dedah Perangai Sebenar Skuad Malaysia - U13 Bawah Bimbingannya"