Inilah 2 Pemain Import Yang Akan Dinatulisasikan Dollah Salleh
KUALA LUMPUR - Jurulatih bola sepak kebangsaan, Dollah Salleh percaya, kejayaan Pilihan Malaysia mengekang gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool 1-1 dalam aksi persahabatan kelmarin membuktikan skuad negara memerlukan pemain naturalisasi jika mahu memberi saingan di pentas lebih tinggi.
Dollah membariskan lima pemain import iaitu dua penyerang Patrick Ronaldinho dan Charles Souza Chad, dua pertahanan, Vincent Bikana serta Thiago Junior Aquino dan seorang pemain tengah, Zah Rahan Krangar untuk memperkuatkan cabaran Pilihan Malaysia.
Semua pemain ini memberi sumbangan besar, terutama Ronaldinho yang menjaringkan gol tunggal Malaysia, manakala kehadiran Bikana serta Thiago yang memiliki fizikal tegap menjadi penghalang utama Liverpool daripada menembusi pertahanan skuad negara.
“Saya harap kita dapat lakukannya (pemain naturalisasi). Tidak dapat dinafikan lagi kelemahan pasukan kebangsaan pada ketika ini adalah saiz fizikal pemain yang kecil dan disebabkan itu kami memerlukan pemain import untuk menyokong di bahagian pertahanan.
“Saya lihat Thiago Junior Aquino dan Vincent Bikana mampu mematahkan serangan berbahaya Liverpool yang memiliki pemain bertaraf dunia.
“Sebab itu saya fikir kami memerlukan pemain seperti ini di bahagian pertahanan,” kata Dollah.
Tahun lalu, penyerang Terengganu, Paulo Rangel yang berasal dari Brazil pernah menyatakan hasrat untuk menyarung jersi kebangsaan, namun hasratnya terbantut selepas mendapat tentangan daripada pelbagai pihak.
Dalam perlawanan kelmarin, Thiago serta Bikana yang memiliki susuk tubuh besar menjadi penghalang kepada anak-anak buah Brendan Rodgers dalam usaha mereka merobek gawang lawan.
Kapten Pahang, Mohd. Razman Roslan juga dilihat dapat mengemudi pasukan dengan baik, malah penjaga gol, Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid berjaya menjaga gawang gol dengan baik meskipun diasak bertali arus oleh The Reds.
Tambah Dollah, pujian harus diberikan kepada pemain baharu yang dipanggil menyertai skuad Pilihan Malaysia selepas berjaya memberi tentangan sengit kepada Liverpool.
Bagaimanapun, dia menegaskan pemilihan pemain untuk kempen Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 akan ditentukan menerusi prestasi mereka dalam liga tempatan.
“Saya memberi pujian kepada pemain muda yang dipanggil untuk beraksi pada malam ini (kelmarin) seperti S. Kumaahran.
“Bagaimanapun dalam menentukan pemilihan pemain untuk membarisi skuad kebangsaan saya lebih gemar memilih pemain yang mempamerkan prestasi cemerlang dalam liga tempatan,” kata pengendali berusia 51 tahun itu.
Sementara itu, pertahanan Perak, Thiago berkata, Dollah perlu bersedia menerima kritikan sekiranya dia mahu menggunakan pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan kerana tidak semua pihak dapat menerima idea tersebut.
“Banyak negara yang telah melakukannya (pemain naturalisasi), malah rakan-rakan senegara saya turut menukar kerakyatan mereka untuk beraksi bersama negara lain.
“Namun proses ini memakan masa dan tidak semua pihak dapat menerimanya dengan baik,” kata pemain pertahanan kelahiran Brazil itu.
0 Komentar untuk "Inilah 2 Pemain Import Yang Akan Dinatulisasikan Dollah Salleh"