Setelah Ultras Mengamuk Inilah Komen Pedas Lim Teong Kim Untuk FAM



Kuala Lumpur: Kekecohan yang dicetus kumpulan penyokong bola sepak Ultras Malaya di Stadium Shah Alam kelmarin, tidak sedikit pun mengundang rasa terkejut atau hairan buat Pengarah Teknikal Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) Lim Teong Kim (gambar) apabila berpendapat itulah natijah yang harus ditelan apabila gagal meraih sebarang keputusan positif diperingkat antarabangsa.
Malah, katanya ia bukan penyakit (merusuh) yang hanya terjadi di negara ini tetapi turut berlaku di seluruh dunia terutama membabitkan prestasi merudum sesebuah pasukan.

“Saya bukan mahu menyatakan tindakan mereka (Ultras Malaya) betul atau salah, tapi itulah hakikatnya yang mesti diterima FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) sekiranya masih tidak bangkit daripada ‘tidur’.
“Penyokong ada hak kerana mereka hadir ke stadium bukannya percuma. Mereka marah sebab sayang kepada bola sepak negara. Apa yang berlaku itu bukannya perkara baru sebaliknya di Eropah juga sering terjadi apabila pasukan negara mengalami kekalahan teruk.

“Jangan salahkan penyokong bulat-bulat, sebaliknya akui kelemahan dengan segera serta lakukan perubahan secara menyeluruh terutama mantapkan soal pembangunan bakat baru supaya negara tidak ketandusan pemain.
“Ini tidak, FAM terlalu sibuk menumpukan Liga Malaysia (Liga-M) hingga sanggup mengabaikan mengenai pembangunan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.
Bagaimanapun, beliau mempertikaikan isu keselamatan yang seharusnya dipantau dan dikawal dengan rapi oleh badan induk bola sepak tempatan itu bersama pihak berkuasa.
“Jangan terkejut sekiranya penyokong mengamuk lagi selepas ini sekiranya masih ditadbir dengan cara lama,” katanya.

0 Komentar untuk "Setelah Ultras Mengamuk Inilah Komen Pedas Lim Teong Kim Untuk FAM"

 
Copyright © 2014 Kaki Berita Online - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info