PENYOKONG setia Johor diminta berhenti membuat spekulasi kononnya bekas bintang Chelsea, Fernando Torres akan bermain dengan pasukan dari negeri ini.
Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan pemain berasal dari Sepanyol itu sebagai 'sangat mahal'.
Malah Tunku Mahkota Johor itu menegaskan mahu mencari pemain yang benar-benar mahu beraksi di negeri ini.
“Penyokong Johor, tak payah lah nak buat gosip-gosip Fernando Torres nak datang ke Johor.
“Tak ada duit.. Johor tak mampu nak beli Fernando Torres, mahal sangat. Kalau dia datang, dia nak minta duit banyak untuk datang sini diibaratkan macam bercuti  atau retirement programme ini bukan tempat dia.
“Saya kena cari pemain yang betul-betul nak main,” katanya pada sesi seminar terbuka dengan media dan penyokong di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru.
Terdahulu, Tunku Ismail sebelum ini pernah menzahirkan minat untuk mendapatkan khidmat pemain terbabit yang kini beraksi secara pinjaman bersama Atletico Madrid.
Beliau menyifatkan penyerang itu sebagai pemain yang berkualiti, berpengalaman dan berkebolehan.
Spekulasi penghijrahan Torres ke Johor, kian hangat apabila ada antara laman sosial Facebook penyokong setia bola sepak negeri ini yang memuat naik status dan komen mengenai pemain terbabit sejak akhir-akhir ini.

Sumber : Sinar Harian