Diouf lesap latihan, Sabah FA berang




KOTA KINABALU: Penyerang import Sabah, El Hadji Diouf bakal dikenakan tindakan disiplin oleh Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) kerana hilang tanpa khabar berita dan tidak menyertai latihan pasukan itu sejak 7 Julai lalu. Malah, bekas penyerang Liverpool itu juga dilucutkan sebagai ketua pasukan Sang Badak dan bakal digantikan dengan pemain lain menjelang aksi Liga Perdana menentang KL Spa pada 31 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SAFA, Datuk TC Goh, menegaskan pihaknya turut kesal dengan tindakan Diouf yang mempersoal hala tuju serta misi pasukan Sabah. "Diouf mempunyai kontrak dengan Sabah dan dia sepatutnya bersama kita bukan pasukan lain termasuk Johor Darul Takzim (JDT). Sebagai pemain, dia tiada hak mempersoalkan misi dan visi pengurusan pasukan kerana kita tidak akan mendedahkannya kepada umum. "Lebih mengecewakan seperti dilaporkan dalam TV Johor FA, Diouf bercakap mengenai misi dan visi pasukan terbabit sedangkan ia misi kami.

Jadi saya harap setiap persatuan negeri hormat pasukan lain dan peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini. Sebelum ini, peminat skuad Sabah menerusi laman sosial melahirkan rasa kesal terhadap tindak-tanduk Diouf yang dikhabarkan berada di Johor dan dikatakan secara terbuka menyatakan minat mewakili Johor Darul Takzim II (JDT II) musim depan. Mengulas lanjut, Goh berkata, Diouf mempunyai kontrak dengan SAFA sehingga Disember ini dan jika Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berminat mendapatkan khidmatnya perlulah mengikut prosedur termasuk membayar pampasan. "Kita tidak tahu apa masalah dia (Diouf), kita masih bayar gaji dia, itu yang saya tahu, jadi sila main bola untuk Sabah.

 Apa masalahnya yang lain saya tidak mahu tahu. "Saya tak nak komen karektor dia (sepanjang bersama Sabah), tetapi semua orang memang ada latar belakang masing-masing. Sepanjang separuh saingan liga musim ini sememangnya dia bagus dan main untuk kita sepenuh hati, tetapi sejak perlawanan kita di JDT (menentang JDTII) Diouf sudah tukar, berubah angin," katanya.


0 Komentar untuk "Diouf lesap latihan, Sabah FA berang"

 
Copyright © 2014 Kaki Berita Online - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info