Inilah Gambar Anak Kedua Yusof Haslam Yang Korang Tak Pernah Tengok






GAMAT dan riuh-rendah dengan gelak tawa jadinya banglo milik penerbit filem terkenal Datuk Yusof Haslam apabila keluarga besarnya bertemu dengan keluarga seni aktres Khatijah Tan.
Bertukar cerita yang kebanyakannya tentang filem bagai tiada penghujungnya. Yusof dan isterinya Fatimah Ismail, memiliki tiga orang anak iaitu Mohd. Syamsul, 29, Nurshamin, 25, dan Muhamad Syafiq, 21.
Dua anak lelaki Yusof, Syamsul dan Syafiq mengikut jejak langkahnya terjun dalam industri perfileman, tidak ketinggalan anak tiri Yusof, Mohd. Faizal, 32, juga terlibat sama dalam memajukan syarikat produksi keluarga, Skop Production yang hampir berusia 30 tahun.
Aktres Khatijah Tan pula mampu berbangga dengan dua cahaya matanya, pengarah dan pelakon, Pierre Andre, 28, dan Mikail Andre, 21, yang kini turut bergelar pelakon.
Didik anak dengan tegas – Yusof
Tidak dinafikan meskipun mengharapkan anak-anak lelakinya meneruskan perjuangannya dalam bidang seni, namun dalam masa yang sama timbul kebimbangan di hatinya selaku seorang bapa akan cabaran yang bakal dihadapi anak-anaknya.
“Saya terlebih dahulu bergelar pelakon dan pengarah filem, jadi saya tahu baik buruknya dunia seni.
“Hati saya seronok bila anak-anak menunjukkan minat yang sama seperti saya, tetapi dalam hati sebagai bapa saya juga bimbang kerana dugaan anak seni tidak sama dengan kerjaya yang lain,” kata Yusof.
Menurut isterinya, Yusof seorang bapa yang cukup tegas dalam mendidik kesemua anak mereka.
“Dia tegas terhadap anak-anak. Walaupun mereka sudah besar panjang, jika tidak ada kerja, mereka mesti berada di rumah sebelum pukul 12 malam.
“Sebagai ibu pula saya selalu berpesan, harus hormat orang lebih tua, jaga tingkah laku dan jagalah nama baik keluarga terutamanya bapa mereka,” kata Fatimah.
Syamsul pula memberitahu, walaupun bekerja dengan bapa sendiri, cabarannya tetap besar.
“Mungkin orang anggap senang sebab saya bekerja dengan bapa tetapi masih ada cabarannya seperti pertembungan idea, kos penerbitan dan kualiti pengarahan.
“Bagi saya kualiti paling penting dan untuk mendapatkan kualiti saya perlukan masa,” tutur Syamsul yang sedang sibuk dengan proses terakhir filem KL Gangster 2 yang dijangka keluar pada September depan.
Bercerita tentang raya, kata Syamsul, dia berharap tahun ini raya terakhirnya sebagai orang bujang.
“Rasanya mungkin ini tahun terakhir saya beraya sebagai orang bujang. Harap doakan yang terbaik untuk saya,” balas Syamsul yang beraya dengan baju sedondon berwarna merah.
Celah Syafiq yang sibuk dengan filem keduanya, Abang Long Fadil, tahun ini mereka akan beraya di rumah keluarga sebelah ibunya di Shah Alam sebelum ke Selayang, Selangor bagi melawat keluarga sebelah bapanya. Selepas itu, mereka ke Setiawan, Perak iaitu kampung ibunya.
Tidak galak anak berlakon
– Khatijah Tan
Bagi pelakon Khatijah Tan pula, dia melahirkan rasa bangga kerana kedua-dua anaknya iaitu Pierre Andre dan Mikail Andre kini mengikut jejak langkahnya sebagai anak seni.
Bagaimanapun, Khatijah mendedahkan bahawa pada mulanya dia tidak menggalakkan kedua-dua anaknya itu berkecimpung dalam bidang lakonan dan lebih suka mereka mengikut jejak langkah suami sebagai seorang pegawai bank.
“Saya bukanlah mahu menghalang minat mereka, tetapi tidak terlalu menyokong sangat pembabitan mereka sebelum ini. Apabila melihat kecenderungan mereka dalam bidang seni, akhirnya saya terpaksa merestui minat mereka.
“Lagipun dengan bakat yang dimiliki sudah tentu sayang kalau tidak dikembangkan. Sebagai seorang ibu yang berpengalaman luas, saya memainkan peranan untuk membimbing mereka,” ujarnya yang terkenal menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu.
Bercerita lebih lanjut mengenai karakter kedua-dua anaknya itu, Khatijah berkata, Pierre sejak kecil lagi sudah menunjukkan minat terhadap bidang seni dan sering menyertai pertandingan lakonan di sekolah.
Ujarnya, anak keduanya pula lebih cenderung kepada bidang fotografi dan ini menyebabkan Khatijah tidak menyangka apabila Mikail turut mengikut jejak langkah ibu dan abangnya.
“Saya selalu berpesan kepada mereka supaya bersungguh-sungguh apabila sudah terjun ke dalam bidang ini. Mereka tidak boleh berpatah balik dengan pilihan yang telah dibuat.
“Kalau boleh saya tidak mahu mereka buat kerja sambil lewa atau kurang serius dengan tanggungjawab yang diberikan. Sudah tentu saya ingin mereka berjaya dalam lapangan yang diceburi,” tegasnya.
Sambutan Aidilfitri pada tahun ini pastinya menjadi lebih bererti buat mereka sekeluarga memandangkan buat pertama kali Pierre meraikannya sebagai seorang suami.
Jelas Pierre, semasa qiamulail pada bulan Ramadan tahun lalu dia pernah memanjatkan doa kepada Allah agar dapat meraikan bulan Syawal tahun ini dengan seorang pasangan hidup.
“Ternyata doa saya telah dimakbulkan Allah. Ia merupakan anugerah yang paling bermakna kerana hajat untuk meraikan Aidilfitri sebagai suami sudah terlaksana.
“Selain itu, saya dapat merasai kelainan apabila ada insan tersayang di sisi, terutamanya ketika mengerjakan ibadah puasa. Dia menjadikan hidup saya kini lebih bermakna,” ujarnya yang mendirikan rumah tangga dengan Siti Nur Hidayah Hashim pada bulan Jun lalu.
Menurut Pierre, tiga hari sebelum menjelang
1 Syawal, dia pulang ke kampung halaman isterinya di Johor Bahru, Johor.
Kemudian, pada hari raya pertama dia dan isteri pulang ke Ipoh, Perak untuk meraikannya bersama ahli keluarganya pula dan menyertai mereka bercuti ke Pulau Pangkor pada hari raya kedua.

0 Komentar untuk "Inilah Gambar Anak Kedua Yusof Haslam Yang Korang Tak Pernah Tengok"

 
Copyright © 2014 Kaki Berita Online - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info