Komen Pedas Lim Teong Kim Untuk Skuad Harimau Malaya

Lim Teong Kim Foto: NFDP
KUALA LUMPUR: "Mereka boleh bermain tetapi belum cukup untuk berlawan," itu antara pendapat Pengarah Teknikal Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) Lim Teong Kim terhadap aksi pemain kebangsaan selepas mereka tewas 10-0.
Merujuk kepada kekalahan bersejarah skuad negara kepada pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) Khamis lalu, bekas jurulatih remaja Bayern Munich itu merumuskan kekecewaan itu berpunca daripada faktor karektor pemain.
"Pasukan bola sepak negara berada dalam situasi tidak baik. Mereka kekurangan banyak perkara terutamanya dari segi karektor pemain.
Terdapat pelbagai 'isi' yang perlu ada dalam karektor pemain. Teknikal, taktikal, dan yang penting sekali adalah mental, disiplin, nilai dan etika bermain atau bekerja. Semua itu adalah karektor yang perlu ada pada pemain.
"Apa yang jadi sekarang adalah disebabkan faktor tersebut. Mereka boleh bermain tetapi belum cukup untuk berlawan," jelasnya kepada mStar Online.
Jurulatih kepada penyerang Jerman, Thomas Muller ketika remaja berkata, sikap pemain-pemain Harimau Malaya sendiri antara penyebab situasi tidak baik berkenaan berlaku kepada Malaysia.
"Semua pemain memberitahu mereka sudah melakukan yang terbaik. Tetapi bagi saya mereka belum cukup ‘all out’ kerana tidak ada sikap berjuang habis-habisan. Mereka tidak tunjuk usaha gigih dan tidak cuba untuk meningkat permainan ke tahap yang lebih tinggi.
"Dalam permainan tidak ada sesiapa yang ‘push’ kamu. Jadi kamu sendiri yang perlu bekerja keras tanpa sikap mudah berpuas hati. Dalam bola sepak, tidak ada had untuk berjuang.
"Semangat mereka sangat lemah dan semuanya tidak berada dalam keadaan yang baik," jelas Teong Kim yang menguruskan akademi pemain-pemain muda untuk skuad DNA bola sepak negara.
Dalam pada itu, ketika ditanya apakah perkara yang akan beliau lakukan jika dipilih menjadi jurulatih kebangsaan, Teong Kim berkata, "saya akan pastikan badan induk bola sepak negara mempunyai sistem pembangunan bola sepak remaja yang lebih baik dan terancang. Itu adalah falsafah saya."
PPBN yang ditadbir oleh Teong Kim dianggap penyelamat masa depan bola sepak negara berikutan beberapa pencapaian positif  skuad muda Bawah 12 dan 13 Tahun di peringkat antarabangsa.
Ia sekaligus akan memberi tekanan kepada Teong Kim sekiranya gagal melahirkan pemain-pemain berkarektor seperti yang dimaksudkan.
"Tidak ada istilah tekanan kerana saya bekerja dengan cara saya sendiri. Tidak ada tekanan daripada sesiapa. Tidak ada sesiapa yang menolong saya untuk mendapatkan ‘silver plate’ kecuali diri sendiri. Dan tidak ada sesiapa yang paksa saya pergi ke Bayern Munich untuk mencari ilmu.
"Jadi saya hanya menumpukan tugas saya, curahkan ilmu dengan cara saya sendiri sehingga misi PPBN ini tercapai," tegasnya.
Tags / Kata Kunci:Lim Teong Kim , PPBN , Harimau Malaya

Sumber : Mstar
0 Komentar untuk "Komen Pedas Lim Teong Kim Untuk Skuad Harimau Malaya"

 
Copyright © 2014 Kaki Berita Online - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info