Kuala Lumpur: “Tidak ada kaitan langsung dengan rasuah dan bookie, keputusan memecat jurulatih serta pemain itu hanya disebabkan prestasi merosot,” kata Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Muhammad Fuad Abu Zarin yang menafikan pasukannya dihimpit gejala tidak bermoral itu.
Kem PDRM diibaratkan ‘meletup’ minggu lalu apabila pihak pengurusan skuad Liga Super itu membuat keputusan drastik memecat jurulatih Azman Adnan.
Lebih mengejutkan dua pemain termasuk kapten Muslim Ahmad dan Nurul Azwan Roya turut ditamatkan kontrak lebih awal, sesuatu yang jarang dilakukan mana-mana pasukan ketika mereka sedang bergelut dengan penurunan prestasi.
Menurut Muhammad Fuad, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pendapat semua pihak pengurusan berikutan kemerosotan prestasi serta masalah disiplin dan bukannya kerana kaitan dengan gejala bookie.
“Kalau pasal dakwaan bookie memang tak ada, kalau ada memang kami akan dedahkan. Buat apa kami nak berselindung, lebih baik didedahkan buat pengajaran pemain lain.
“Kami sentiasa memantau pasukan ini sejak awal musim, jadi tidak ada kaitan dengan bookie. Keputusan pihak pengurusan itu atas faktor kemerosotan prestasi pasukan dalam empat, lima perlawanan terakhir serta masalah komitmen pemain dalam latihan, kurang serius dan datang lewat.
“Walaupun kami mengambil tindakan tegas ini, jurulatih dan pemain terbabit menerima dengan baik, malah kami sudah menyelesaikan bayaran baki kontrak mereka,” katanya kepada Arena Metro semalam.
PDRM yang pada awalnya dilihat mempunyai potensi untuk mencabar kejuaraan liga mula merosot ketika menuju ke penghujung pusingan pertama sehingga tergelincir ke tangga ketujuh.
Muhammad Fuad menegaskan, ketiadaan jurulatih dan ketua pasukan pasti menjejaskan pasukan namun mereka percaya itu jalan terbaik untuk pasukan kembali bersaing bagi baki tujuh perlawanan liga.
“Memang boleh beri kesan tapi kami kena buat juga supaya situasi tidak bertambah teruk. Harap kami boleh memperbaiki prestasi untuk kekal dalam Liga Super selepas ini,” katanya.
Ketiadaan Azman, posisi jurulatih PDRM kini diambil alih penolongnya Fauzi Pilus.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/67042#sthash.Kiruc0Cl.dpuf
0 Komentar untuk "Inilah Punca Sebenar Muslim Ahmad & Azwan Roya Digugurkan Dari PDRM Yang Pasti Memeranjatkan Anda"