Skuad Malaysia-U13 Belasah Kelab Portugal 7-0





Kuala Lumpur: Aksi bertenaga terus dipamerkan skuad bawah 13 tahun negara (B-13) apabila mencatat kemenangan pada dua perlawanan pertama Kejohanan Ibercup Estoril di Potugal dengan menewaskan wakil Sweden Segeltorps IF 2-1 serta membelasah wakil tuan rumah Dragon Force Lisboa 7-0, hari ini.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan skuad negara sudah mengesahkan tempat ke pusingan kedua selepas meraih enam mata penuh daripada dua perlawanan.

Pada perlawanan pertama, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di babak pertama sebelum skuad negara di bawah Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) meledak dua gol pada separuh masa kedua untuk membolehkan mereka membuka langkah kanan di kejohanan ini.

Perlawanan kedua pula menyaksikan aksi lebih garang skuad negara apabila mendahului 2-0 selepas berakhir separuh masa pertama.

Bersambung separuh masa kedua, skuad negara menambah enam gol lagi, bagaimanapun gol keempat dibatalkan kerana ofsaid untuk menjadikan kedudukan muktamad 7-0.

Dua kemenangan anak buah Lim Teong Kim itu meneruskan aksi konsisten mereka selepas muncul juara Kejohanan Piala Ibercup Costa del Sol pada minggu lalu apabila menewaskan Sporting Lisbon 2-1 di aksi final.

0 Komentar untuk "Skuad Malaysia-U13 Belasah Kelab Portugal 7-0"

 
Copyright © 2014 Kaki Berita Online - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info